Monday, 18 May 2015

Kenali bahasa tubuh kucing kesayangan anda


Kucing merupakan antara haiwan kesayangan yang dipelihara oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Sepanjang tempoh peliharaan itu, pemilik sering melihat kucing jagaan itu membuat pelbagai gerak badan yang kadang-kadang sukar untuk difahami.

Kali ini, veterinar mahu berkongsi tip-tip khas panduan mengenal pasti gerak bahasa tubuh si comel. Veterinar berharap, nota kali ini dapat memberikan sedikit pengajaran kepada anda supaya sentiasa berhati-hati sewaktu bermain dengan kucing yang kadangkala mampu bertindak di luar jangkaan.

Sekiranya kucing dalam keadaan sedia bergaduh dengan kucing lain, jangan leraikan menggunakan tangan kosong, gunakan semburan air.

PERINGATAN: Nota ini bukan khidmat nasihat cetakan sebaliknya panduan khas kecemasan yang disediakan untuk tujuan pendidikan. Jika terdapat sebarang perubahan fizikal dan kucing disyaki mengalami masalah kesihatan, bawa haiwan belaan itu ke klinik veterinar untuk pemeriksaan dan rawatan sewajarnya.

Facebook: www.facebook.com/HeloVetDisini, E-mel: purrfectenterprise@gmail.com.

Nota ini merupakan sedikit sebanyak panduan yang boleh veterinar ajarkan untuk rujukan anda di rumah. Kami sering melihat berita atau cerita tentang kecederaan yang dialami sewaktu menyelamatkan kucing yang sedang bergaduh atau dalam kecederaan dalam akhbar dan laman sosial. Seandainya kita tahu gerak bahasa tubuh mereka, Insya-Allah proses membantu dan menyelamat menjadi lebih baik serta menguntungkan kedua-dua pihak.

5. Agresif /garang /posisi menyerang

Mata: Mata sedikit meruncing dan anak mata akan berbentuk tirus. Merenung tepat ke arah sasaran.

Telinga: Menegak ke arah sasaran dan adakalanya berubah 45 darjah ke belakang. Sedikit rapat dengan kepala.

Ekor: Melurut ke bawah dan bahagian belakang ekor akan bergerak sedikit ke kiri dan kanan sebelum serangan.

Badan: Badan sedikit membongkok dan kadang-kadang menyenget ke tepi. Berusaha mendekati lawan dengan berhati-hati dan melakukan terkaman yang mendadak apabila pihak lawan sedikit leka.

Tip: Renungan tajam yang menggerunkan dan suara nyaring mengakibatkan pihak lawan melarikan diri. Bergantung pada tahap dominan seseekor kucing. Jangan leraikan menggunakan tangan kosong, gunakan semburan air. Sekiranya pergaduhan berlaku, kecederaan yang dialami adalah pada tahap maksimum. Leraian awal mampu membantu menyelamatkan kedua-dua pihak.

4. Posisi pertahanan

Mata: Mata terbuka luas dan anak mata membulat besar, biasanya akan cuba tidak bertentang mata dengan pihak lawan.

Telinga: Terkatup rapat dan melekap hampir rapat dengan kepala.

Ekor: Ke bawah dan tersorok rapat dengan badan.

Badan: Dalam keadaan terancam, si comel akan membongkokkan badan mereka. Meremangkan atau bulu-bulu badan mula kembang. Posisi seperti ini dibuat agar pihak lawan atau musuh akan berasa gerun dan cuba mengalah. Kuku akan dikeluarkan dan menyeringai menunjukkan taring juga sebagai amaran supaya jangan didekati. Amaran dalam bentuk vokal juga akan diberikan. Suara yang nyaring dan bunyi mendesis akan dihasilkan bagi menakut-nakutkan pihak lawan.

Tip: Sekiranya kucing sedang dalam keadaan sedia bergaduh dengan kucing lain, jangan leraikan menggunakan tangan kosong, gunakan semburan air. Sekiranya pergaduhan berlaku, kecederaan yang dialami adalah pada tahap maksimum. Leraian awal mampu membantu menyelamatkan kedua-dua pihak.

3. Posisi berburu

Mata: Mata terbeliak dan anak mata membesar.

Telinga: Telinga mereka akan menjurus ke arah sasaran yang hendak dituju.

Ekor: Tegak ke belakang dan sedikit condong ke bawah.

Badan: Posisi badan rapat ke permukaan lantai/tanah. Pergerakan sangat perlahan. Kaki hadapan dan belakang digerakkan apabila si comel cuba mendekati objek yang hendak diburu. Adakalanya mengambil masa yang agak panjang bagi mereka menentukan waktu sesuai untuk melakukan terkaman.

Tip: Biasanya, posisi seperti ini dapat dilihat sewaktu kita sedang bermain dengan si comel. Bagi kucing indoor atau peliharaan dalam rumah, waktu bermain adalah saat yang sesuai untuk mengasah skil berburu yang diwarisi. Harus diingatkan, kucing merupakan karnivor dan sifat berburu masih tebal. Sewaktu bermain, si comel mungkin membuat serangan yang tidak dijangka kepada pemilik. Ia mungkin disebabkan oleh kegagalan menangkap objek dan hilang kesabaran.



2. Sedia bermain

Mata: Mata terbeliak dan anak mata membesar.

Telinga: Tegak dan cenderung menghala ke arah objek yang menarik perhatian mereka.

Ekor: Naik sedikit melintang dan hujung ekor bengkok ke atas. Mengibas-gibas ke kiri dan ke kanan.

Badan: Kedudukan badan yang mula berdiri atau duduk, menunjukkan minat dan cuba bergerak ke arah objek yang menarik perhatian mereka.

Tip: Ekor yang mengibas perlahan menunjukkan bahawa si comel sangat berminat untuk bermain dan bergurau. Tidak sabar untuk beraksi dan menunjukkan kehebatan bergurau. Bagaimanapun, sekiranya pergerakan ekor semakin laju, si comel mungkin sedang teruja atau hilang kesabaran.

1. Tenang dan santai

Mata: Sedikit tertutup seakan-akan mengantuk dan berkedip. Anak mata sedikit tirus.

Telinga: Tegak ke atas dan sedikit menjurus ke hadapan.

Ekor: Melingkar ke bawah, tenang dan tidak banyak pergerakan melibas.

Badan: Tidak banyak bergerak dan diam apabila dipegang.

Tip: Ini merupakan masa yang sangat sesuai untuk kita bermanja dengan si comel. Pada waktu ini, emosi si comel sangat stabil dan bersedia untuk tidur serta dibelai. Jangan sesekali melakukan provokasi dengan gurauan kasar terutamanya di bahagian sensitif seperti perut. Emosi si comel mampu berubah sekelip mata.

~ Kosmo

No comments:

Post a Comment

Nuffnang