Monday, 18 May 2015
Penyakit Asma: Ada Pesakit Tidak Faham Kawal Asma
Satu kaji selidik seluruh Asia memperlihatkan persepsi baharu mengenai bagaimana pesakit menyifatkan kawalan ke atas penyakit asma yang mereka hidapi.
Tinjau selidik tersebut dilakukan oleh REALISEAsia (Recognise Asthma and Link to Symptoms and Experience atau Kenali Asma dan Kaitkan kepada Gejala dan Pengalaman) dan dirangka bersama dengan Jawatan Kuasa Pemandu yang terdiri daripada pakar respiratori dari lapan negara Asia membabitkan 2,467 penghidap asma yang berumur 18 hingga 50 tahun, termasuk 151 responden dari Malaysia.
Hasil tinjau selidik tersebut menunjukkan bahawa pesakit kurang faham tentang keadaan mereka dan definisi kawalan penyakit dalam pengurusan asma.
Sungguhpun sembilan daripada 10 pesakit menganggap diri mereka dapat mengawal penyakit asma masing-masing, hanya 28 peratus benar-benar terkawal berasaskan garis panduan klinikal.
Dalam hal ini, pesakit lebih cenderung mengaitkan kawalan asma kepada pengurusan dan bukannya pencegahan.
Menurut hasil tinjau selidik itu lagi, 93 peratus daripada responden Malaysia tidak menganggap asma mereka serius dan 79 peratus percaya mereka boleh menguruskan asma mereka tanpa bantuan doktor.
Akibatnya, separuh responden mendapati penggunaan ubat sedut atau inhaler menyusahkan dan 41 peratus daripada responden tidak melihat keperluan untuk mengambil ubat mereka secara tetap memandangkan mereka tidak mengalami gejala penyakit atau serangan asma.
Hasil tinjau selidik ini turut mengesahkan bahawa pesakit asma terus menanggung beban penyakit tersebut dengan 92 peratus masih mengalami gejala yang membimbangkan termasuk kesukaran bernafas, batuk, berdehit, dan sesak dada.
Semua gejala ini secara tidak langsung menjejaskan kualiti hidup dan produktiviti kerja mereka.
Sepanjang tahun lepas, 62 peratus daripada responden Malaysia tidak dapat tidur pada waktu malam disebabkan gejala asma dan 40 peratus lagi memerlukan rawatan di hospital.
Dan daripada jumlah itu, dua pertiga terpaksa mengambil cuti sekurang-kurangnya satu hari daripada kerja atau sekolah, manakala satu perlima daripada responden mengambil cuti seminggu.
Menurut Pengarah Institut Perubatan Respiratori, Kuala Lumpur, Datuk Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif, di negara ini, pesakit sentiasa mengecilkan keseriusan penyakit asma mereka kerana mereka percaya penyakit asma mereka terkawal.
Katanya lagi, pesakit asma juga kurang memberi perhatian kepada gejala penyakit yang dihidapi apabila keadaan tidak teruk dan ini akan memberi kesan ke atas kehidupan seharian mereka termasuk prestasi kerja dan sekolah.
“Pesakit boleh belajar untuk menguruskan keadaan mereka secara lebih baik kerana ini akan memberi kesan positif ke atas kualiti hidup mereka.
“Mereka hendaklah berbincang dengan doktor dalam usaha menambah baik kawalan penyakit asma yang mereka hidapi.
“Meskipun banyak kajian telah dijalankan dan pelbagai program pendidikan telah dilaksanakan, bilangan pesakit yang disifatkan sebagai tidak dapat mengawal penyakit mereka tetap sama,” ujarnya.
Hasil tinjau selidik tersebut yang ditaja oleh Mundipharma, turut menyatakan bahawa pakar-pakar respiratori harus terus bekerjasama untuk menggalakkan pembangunan strategi dan alat pengurusan penyakit yang lebih baik di Malaysia.
Pada masa yang sama, mereka juga mula memahami bahawa terdapat jurang antara apa yang pesakit percaya mengenai kawalan asma secara mencukupi dan apa yang benar-benar mereka boleh capai.
Ternyata, sokongan Mundipharma dalam hasil tinjau selidik ini mencerminkan komitmen mereka untuk membantu doktor dan pesakit mengurangkan beban menangani asma dalam kalangan lebih 70 juta penduduk Asia. ~ Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment