Monday, 18 May 2015

Tidurkan Anak Dengan Bercerita



Bercerita atau membaca buku cerita dongeng adalah antara cara sesetengah ibu bapa menidurkan anak-anak mereka.

Antara cerita yang selalu diperdengar kepada anak-anak adalah cerita versi Sang Kancil dan penglipur lara tempatan yang membawa mesej serta pengajaran baik seperti Arnab dan Kura-Kura serta Anjing dan Bayang-bayang.

Tidak kurang juga cerita dongeng dari luar negara seperti Cinderella dan Sleeping Beauty serta Hikayat Seribu Satu Malam.

Menurut seorang pakar psikologi kanak-kanak yang tidak mahu dikenali, bercerita kepada anak sebelum tidur membawa banyak kebaikan.

"Antara kebaikannya adalah ia dapat membuat anak-anak berasa tenang dan rileks. Cerita yang anda perdengar juga boleh membina daya imaginasi. Apabila mereka meningkat usia, mereka akan memberi daya kreativiti yang lebih tinggi," kata beliau.

Dengan bercerita kepada anak anda ketika mereka ingin tidur, ia akan membuat mereka tertunggu-tunggu masa ini kerana mereka akan berasa lebih dekat dengan ibu bapa.

"Ia adalah satu detik yang akan diingati oleh anak-anak seumur hidup mereka.

"Malah, aktiviti bercerita kepada anak sebelum mereka tidur akan memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan anak-anak, selain memberi keseronokan kepada mereka.

"Ini merupakan satu masa yang amat berharga kerana anda boleh bersendirian bersama anak dalam suasana yang tenang dan tiada gangguan," kata beliau.

Namun, janganlah bercerita tentang cerita-cerita yang seram atau sedih kerana ini akan mengganggu alam tidur mereka, umpamanya mereka akan bermimpi benda-benda yang menakutkan.

Jadi, apakah cerita yang sesuai?

Menurut pakar itu, tidak kira sama ada membaca daripada buku atau bercerita dengan bersahaja, cerita-cerita itu seelok-eloknya mempunyai beberapa ciri seperti situasi yang ada persamaan, tidak terlampau panjang dan ada kepelbagaian.

"Anda harus menyesuaikan cerita ini dengan sesuatu yang biasa dengan situasi anak anda. Contohnya, seorang raja yang mempunyai putera yang nakal atau tentang seseorang yang mempunyai haiwan peliharaannya seperti arnab atau ikan yang boleh berkata-kata.

"Atau gambarkan situasi cerita seolah-olah hampir sama dengan tempat anak anda telah lawati seperti zoo atau taman haiwan atau mungkin juga sebuah stor yang menjual barang permainan dan sebagainya. Dengan berbuat begini, anda akan membantu anak anda memperkaya imej di minda serta daya imaginasi dan kreativiti mereka," tambahnya.

Menurutnya, cerita yang dibacakan itu pula janganlah terlalu panjang.

"Panjang cerita mestilah dalam lingkungan 20 minit sahaja. Anak-anak mahukan 'penamat' pada cerita itu. Jadi, kalau mereka tertidur sebelum cerita itu tamat, mereka akan berasa kecewa," ujarnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment

Nuffnang