Monday, 18 May 2015
Pembedahan bariatrik utk ramping dan kurangkan berat badan
Malaysia antara negara yang mempunyai paling ramai penduduk dengan berat badan berlebihan di Asia.
Dapatan terkini sebuah jurnal perubatan Britain, The Lancet, mendapati 49 peratus wanita dan 44 peratus lelaki di negara ini mengalami masalah obesiti.
Menurut hasil kajian terbaru International Institute for Global Health (IIGH) yang disiarkan jurnal perbuatan itu, Malaysia diletakkan sebagai 'heavyweight' kerana 45.3 peratus penduduknya mengalami berat badan berlebihan, diikuti Korea Selatan (33.2 peratus), Pakistan (30.7 peratus) dan China (28.3 peratus).
Masalah itu bertambah rumit apabila negara ini terkenal dengan jolokan 'syurga makanan' apabila pelbagai jenis makanan dari serata negara boleh didapati di Malaysia.
Pakar Perunding Kanan Bedah Gastrointestinal dan Obesiti, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan Pusat Pakar UKM (UKMSC), Dr Nik Ritza Kosai Nik Mahmood berkata, obesiti di negara ini sememangnya 'kritikal' dan perlu diatasi segera.
"Memandangkan Malaysia terkenal dengan 'trade mark' negara paling gemuk di Asia, evolusi rawatan bagi mengurangkan berat badan juga tumbuh bagai cendawan lepas hujan.
"Namun masyarakat perlu bijak memilih rawatan yang benar-benar memberi kesan dan tiada kesan sampingan," katanya ketika ditemui di pusat perubatan itu baru-baru ini.
Menurutnya terdapat satu alternatif rawatan bagi mengurangkan obesiti iaitu kaedah bariatrik yang berkesan mengurangkan berat badan dengan cara sihat dan berkesan.
"Bariatrik adalah teknik pembedahan bertujuan mengurangkan berat badan dengan cara meletakkan alat bantuan seperti pengikat gastrik dan pembuangan sebahagian daripada perut. Ia mengurangkan isi padu perut dan pemintasan usus kecil untuk mengurangkan penyerapan seperti lemak dan gula.
"Ia dilakukan menerusi kaedah laparoskopi. Tujuan pertamanya untuk menurunkan berat badan dan mengekalkan penurunan berat badan untuk jangka lama. Kedua-duanya secara tidak langsung dapat mengurang dan memulihkan masalah perubatan seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah kolesterol," katanya.
Bagaimanapun, banyak faktor perlu diambil kira oleh panel doktor dan pesakit sebelum menjalani pembedahan itu seperti kedudukan kewangan, logistik, sokongan keluarga, keadaan kesihatan, kecergasan dan pelbagai lagi.
Katanya, pembedahan bariatrik dicadangkan kepada mereka yang mempunyai berat badan berlebihan serta sudah mencuba pelbagai kaedah menurunkannya termasuk bersenam dan mengambil ubat kurus, namun gagal.
"Berat badan yang tidak terkawal menyebabkan lebih 65 jenis penyakit kronik termasuk penyakit jantung, strok, kencing manis, darah tinggi, kanser, gout, osteoporosis dan sebagainya.
"Fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar tampak kurus, tapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti punca pelbagai penyakit kronik," katanya.
Lazimnya, pembedahan bariatrik mengambil masa enam bulan hingga setahun dan tahap paling penting ialah tiga hingga enam bulan pertama apabila penurunan berat badan akan berlaku secara mendadak.
Pemantauan berat badan mengikut kadar yang dikehendaki amat penting oleh pakar yang akan mengira dan memantau sasaran penurunan berat badan dengan ketinggian dalam sebulan.
Pesakit yang konsisten dengan rawatan susulan serta mengikut rejim diet yang disarankan pakar diet dan bersenam, punyai potensi untuk sembuh dengan segera.
Kesan selepas pembedahan bariatrik
- Tidak boleh makan banyak kerana perut sudah dikecilkan.
- Kalau makan banyak, akan cepat kenyang. Pada permulaannya pesakit dinasihat supaya makan sedikit dan kerap mengurangkan kesan sampingan seperti muntah
- Pada permulaannya akan cepat rasa letih, oleh itu pesakit dinasihat minum banyak air.
- Mula seronok apabila berat badan semakin menyusut.
- Pesakit kronik akan mula sembuh, pertamanya bagi pernafasan atau masalah berdengkur.
- Dalam tempoh empat hingga lima minggu, penyakit kencing manis dan darah tinggi lebih mudah dikawal.
- Dalam tempuh tiga hingga enam bulan, masalah sendi yang disebabkan oleh berat badan akan semakin reda atau pulih.
Harian Metro : Ahad, 15 Februari 2015
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment