Friday, 15 May 2015

El Gamma Penumbra Juara Pertama Asia's Got Talent


el gamma penumbra juara pertama asias got talent


 
 Peserta yang menampilkan konsep shadow dance group yang berasal dari Filipina, El Gamma Penumbra dimahkotakan sebagai penyandang pertama gelaran Asia's Got Talent. Menerusi episod akhir program realiti yang disiarkan di saluran AXN (Astro 701) bermula pada pukul 8.05 malam semalam, El Gamma telah menewaskan kumpulan asal Mongolia, Khusugtun.

Dengan kejayaan itu, El Gamma telah berjaya membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai berjumlah RM356,810.00 (USD100,000) dan berpeluang untuk membuat persembahan di Marina Bay Sands, Singapura.

Selain Khusugtun dan El Gamma, peserta lain yang berentap di episod akhir Asia's Got Talent adalah The Talento (Thailand), Gao Lin dan Liu Xin (China), Dance Thrilogy (Singapura), Junior New System (Filipina), Gwyneth Dorado (Filipina), Triqstar (Jepun) dan Gerphil Geraldine Flores (Filipina).

Penonton turut dihiburkan dengan persembahan dari sensasi pop Filipina yang menempa nama di Hollywood, Charice dan pemenang Australia's Got Talent, Constantino.

Penonton juga turut dihiburkan dengan persembahan khas dari empat orang juri Asia's Got Talent, komposer dan penerbit muzik terkenal David Foster, ahli kumpulan Spice Girl, Melanie C, penyanyi terkemuka Anggun Cipta Sasmi dan pelakon terkenal, Van Ness Wu. Mereka mempersembahkan lagu yang bertajuk Let's Groove dengan nafas baharu, nyanyian asal kumpulan Earth, Wind & Fire.

No comments:

Post a Comment

Nuffnang