KURUS atau Langsing menjadi impian semua orang, baik lelaki mahupun
wanita. Sering kali cantik itu dikaitkan dengan kurus. Kurus itu cantik.
Dua benda yang sangat sinonim.
Wanita berbadan gemuk dikatakan kurang menarik. Hakikatnya semua orang
mahukan tubuh langsing. Ada yang sanggup melaburkan wang beribu-ribu
untuk melakukan pembedahan membuang lemak-lemak di badan. Kurus
membolehkan mereka berjalan dengan langkah yang bertenaga dan lebih
yakin.
Berat 45 kilogram dan ke bawah adalah timbangan yang ingin dicapai bagi
golongan berbadan besar. Semakin kurus semakin mereka suka tanpa
menyedari keadaan itu akan memudaratkan diri juga. Mereka mengandaikan
berat berlebihan adalah tidak cantik dan memalukan.
Keadaan ini sekali gus menyebabkan mereka menjadi seorang yang pasif dan
kurang dalam pergaulan, sama ada sesama jantina ataupun berlawanan
jantina. Kurus, gemuk dan cantik biasanya menghantui wanita berbanding
lelaki.
Diet yang melampau, pil kurus mahupun ke pusat-pusat kecantikan menjadi
pilihan mereka yang ingin mendapatkan bentuk badan ideal.
Mereka sanggup berbelanja besar membeli pil-pil tersebut tanpa
menghiraukan kemudaratan menanti di kemudian hari. Sudah ramai yang
menjadi mangsa, terpedaya, namun sehingga kini tiada orang serik
menggunakan bahan-bahan terlarang untuk mendapatkan bentuk tubuh badan
ramping.
Jumlahnya tidak pernah berkurangan malah lambakan produk-produk dan
pil-pil tersebut menunjukkan bahawa ia mendapat sambutan menggalakkan
dalam kalangan masyarakat.
Pernahkah kita berfikir mengapa saiz S menjadi pilihan si gadis? Tapi
dengan pemakanan yang tidak boleh dikawal, bagaimana impian langsing
akan jadi nyata?
Makan itu boleh tetapi makan perlu baik. Makan secara baik ini bukan
sahaja boleh melangsingkan badan, malah sangat memberi kesan positif
kepada kesihatan.
Diet itu perlu bagi sesiapa yang bertubuh gempal melebihi tahap BMI,
namun diet yang melampau dan melebihi batas kemampuan badan hendaklah di
hentikan dengan kadar segera.
Sihat sepatutnya menjadi matlamat utama dalam usaha menguruskan berat
badan dan bukanlah rupa yang cantik semata. Kesihatan itu lebih mahal
harganya dari bentuk badan yang cantik. Terdapat beberapa tip atau petua
yang mudah untuk kuruskan badan dengan makan yang baik.
Pertama mengelakkan makan makanan ringan seperti kerepek, biskut, jajan
dan sebagainya. Ini adalah kerana makanan ringan ini tidak mengandungi
sebarang khasiat yang lengkap untuk tubuh badan dan hanya mengandungi
karbohidrat dengan kalori berlebihan, di samping pelbagai pengawet dan
perasa tiruan yang berbahaya untuk kesihatan.
Kedua pengambilan protein sihat iaitu ‘protein putih’. Kurangkan sumber
‘protein merah’ seperti daging yang kaya dengan lemak tepu. Makanan
tinggi protein putih seperti ikan, tauhu, tempe, telur, udang atau
sotong. Elok juga dipelbagaikan sumber protein untuk badan kita seperti
daripada sumber kekacang.
Ketiga makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran. Seperti yang kita
ketahui buah-buahan dan sayuran hijau mempunyai pelbagai khasiat anti
oksidan, mineral dan vitamin untuk tubuh badan.
Keempat, banyakkan minum air kosong atau air mineral. Air kosong
membantu membakar kalori berlebihan dalam badan kerana ia adalah
berkalori kosong dan ia memerlukan kalori untuk diproses dalam tubuh
manusia.
Sentiasa amalkan lapan gelas air kosong sehari. Elakkan minuman manis
dan berkarbonat kerana gula dalam minuman mempunyai kalori tinggi dan
indeks glisemik yang tinggi.
Kelima amalkan pengambilan suplemen seperti multivitamin, vitamin C,
vitamin E, anti oksidan, omega 3, mineral kalsium, magnesium, zink, dan
lain-lain. Ini membantu mengekalkan sistem metabolisme tubuh ke tahap
yang optimum. Banyak kajian telah membuktikan pengambilan suplemen
seperti omega 3 yang boleh menurunkan berat badan.
Petua-petua ini jika diamalkan mampu menyumbang kepada berat badan ideal
dan juga kesihatan yang baik. Tidak salah kalau mencuba andai mahukan
tubuh badan yang cantik dan sihat.
No comments:
Post a Comment