Walau bagaimanapun Nabi ada bersabda, maksudnya: “Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya 300 kali tetakan pedang.”
Bayangkanlah
jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan
banyak, cuma sekali saja, itupun sudah tidak dapat digambarkan
kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300x tetakan.
Bayangkanlah
sendiri. Cuba kita tanggalkan pula kuku daripada isinya, pastinya sakit
tidak tertahan. Daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup, dahaga yang
amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu
menghilangkannya.
Semuanya ini cuma secebis dari perbandingan kesakitan maut,malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu.
Oleh
itu, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut,
maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan.
Antaranya:-
Sebelum tidur:
- Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali
- Selawat ke atas Nabi
- Membaca tasbih
Amalan harian:
- Sentiasa membaca Al-Quran
- Memelihara solat terutama solat fardu
- Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan
- Membaca tasbih
- Membanyakkan sedekah
- Sentiasa berzikir menyebut Allah
Amalan yang perlu dijauhi:
- Dusta
- Khianat
- Mengadu domba
- Kencing berdiri
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.”
Pada
suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as
lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan
kemudian Allah menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk
Nabi Idris as mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih
mendalam dan teguh lagi. Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul
maut supaya mencabut nyawa nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga.
Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah)
menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah.
Setelah
di dapati Nabi Idris as sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya:
“Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?” Jawab Nabi Idris:
“Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka
rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya.” Kata
malaikat maut: “Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya
lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan
terhadap seseorang pun.”
Diriwayatkan
lagi bahawa Nabi Isa as telah menghidupkan beberapa orang yang telah
mati dengan keizinan Allah. Maka sebahagian orang kafir berkata:
“Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati yang
masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Maka cuba
hidupkan untuk kami orang yang telah mati seperti zaman yang awal dulu.”
Kata Nabi Isa as: “Cubalah kamu pilihkan?” Mereka berkata:Hidupkanlah untuk kami anak Nabi Nuh as (Sam bin Nuh).”
Maka
Nabi Isa as pergi ke kuburnya, lalu mengerjakan solat dua rakaat dan
berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh dihidupkan kembali, tetapi rambut
dan janggutnya sudah beruban.
Nabi
Isa as hairan kenapa jadi begitu. Berkata Sam bin Nuh: “Saya telah
mendengar panggilanmu dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka
rambut dan janggut saya berubah menjadi putih seperti ini dari sebab
takutnya hari kiamat. Berkata Nabi Isa as: “Sudah berapa tahun kau
meninggal dunia?” Kata Sam:
“Semenjak 4000 tahun lalu maka belumlah hilang sakit dari sakaratul maut.”
Betapa
kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu
dalam masa 24 jam sebanyak 70 kali, andainya manusia sedar hakikat
tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh
kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat
kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh
Malaikat Izrail. Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih
mampu bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah
yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya.
Walaupun
dia sebenarnya adalah seorang yang miskin amal kebajikan serta tidak
memiliki sebarang bekalan untuk akhiratnya, dan sebaliknya banyak pula
melakukan dosa.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Bahawa
malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali
dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati
orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah
hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala
untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak
ketawa.” Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa
diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa
mengingati mati.
Golongan
ini tidak lalai dan sentiasa sedar terhadap kehadiran malaikat maut,
kerana mereka sentiasa meneliti hadis-hadis Nabi s.a.w yang menjelaskan
mengenai perkara-perkara ghaib, terutama mengenai hal ehwal mati dan
hubungannya dengan malaikat maut. Meskipun mata manusia hanya mampu
melihat alam benda yang nyata, tidak mungkin dapat melihat kehadiran
malaikat maut itu. Namun pandangan mata hati mampu melihat alam ghaib,
iaitu memandang dengan keyakinan iman dan ilmu.
Sebenarnya
manusia itu sedar bahawa setiap makhluk yang hidup pasti akan mati,
tetapi manusia menilai kematian dengan berbagai tanggapan. Ada yang
menganggap kematian itu adalah suatu tabi’e biasa sebagai pendapat
golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian
itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja.
Dia
mengambil logik bahawa banyak kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi,
seperti diakibatkan oleh peperangan, bencana alam seperti gempa bumi,
banjir, kebakaran dan juga kemalangan sama ada di udara, laut dan
daratan termasuk kemalangan jalan raya. Selain itu mereka juga melihat
kematian disebabkan oleh serangan penyakit yang merbahaya seperti
penyakit barah, sakit jantung, AIDS, demam denggi, ta’un dan sebagainya.
Disebabkan
manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah,
maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian
yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas
mereka bertanya, “sebab apa si pulan itu mati, sakitkah atau
kemalangankah? “.
Tidak
ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat
maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan
malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti
memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.
Sesungguhnya
malaikat maut menjalankan arahan Allah SWT dengan tepat dan sempurna,
dia tidak diutus hanya untuk mencabut roh orang sakit sahaja, ataupun
roh orang yang mendapat kecelakaan dan mala petaka. Jika Allah SWT
menetapkan kematian seseorang ketika berlaku kemalangan, atau ketika
diserang sakit tenat, maka Izrail mencabut roh orang itu ketika kejadian
tersebut.
Namun
ajal tidak mengenal orang yang sihat, ataupun orang-orang mewah yang
sedang hidup rehat dibuai kesenangan. Malaikat maut datang tepat pada
waktunya tanpa mengira orang itu sedang ketawa riang, atau mengerang
kesakitan. Bila ajal mereka sudah tiba, maka kematiannya tidak
tertangguh walau sesaat.
Walau
bagaimanapun ada ketikanya Allah SWT jadikan berbagai sebab bagi
sesuatu kematian, yang demikian itu ada hikmah disebaliknya.
Misalnya
sakit tenat yang ditanggung berbulan-bulan oleh seseorang, ia akan
menjadi rahmat bagi orang beriman dan sabar, kerana Allah Taala memberi
peluang dan menyedarkan manusia agar dia mengingat mati, untuk itu dia
menggunakan masa atau usia yang ada untuk berbuat sesuatu, membetulkan
dan bertaubat dari dosa dan kesilapan serta memperbaiki amalan, serta
menambah bekalan untuk akhirat, jangan sampai menjadi seorang yang
muflis di akhirat kelak.
Begitu
juga orang yang mati mengejut disebabkan kemalangan, ia akan menjadi
pengajaran dan memberi peringatan kepada orang yang masih hidup supaya
mereka sentiasa waspada dan tidak lalai dari berusaha memperbaiki diri,
menambah amal kebajikan dan meninggalkan segala kejahatan. Kerana
sekiranya ajal datang secara tiba-tiba pasti akan membawa sesalan yang
tidak berguna. Di kalangan orang solihin menganggap bahawa sakit yang
ditimpakan kepada dirinya adalah sebagai tanda bahawa Allah SWT masih
menyayanginya. Kerana betapa malangnya bagi pandangan orang-orang soleh
itu jika Allah SWT mengambil roh dengan tiba-tiba, tanpa sebarang amaran
terlebih dahulu. Seolah-olah Allah SWT sedang murka terhadap dirinya,
sebab itulah Allah SWT tidak beri amaran terlebih dahulu kepadanya.
Keadaan orang itu ibarat orang yang tidak menyedari adanya bahaya di
hadapannya, jika tiada amaran terlebih dahulu nescaya dia akan
menjerumus ke lembah bahaya itu.
Selain
itu Allah Taala menjadikan sebab-sebab kematian itu bagi memenuhi
janjiNya kepada malaikat maut, sebagaimana diriwayatkan oleh Saidina
Abbas r.a dalam sebuah hadis Nabi yang panjang.
Antara
lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan
dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara
makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih
Allah, iaitu para rasul a.s.w., para nabi-nabi, para wali-wali dan
orang-orang solihin.
Selain
itu malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi
oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut
roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana
kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan
mereka.
Diriwayatkan
bahawa Allah SWT berjanji akan menjadikan berbagai sebab-sebab kepada
kematian yang akan dilalui oleh keturunan Adam. Sehingga keturunan Adam
itu akan memikirkan dan mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebab yang
dialami oleh mereka.
Apabila
berlaku kematian, mereka akan berkata bahawa si anu itu mati kerana
menghidap sakit, ataupun kerana mendapat kemalangan, mereka akan terlupa
mengaitkan malaikat maut dengan kematian yang berlaku itu.
Ketika
itu Izrail tidak perlu bersedih kerana manusia tidak mengaitkan
kematian tersebut dengan kehadiran malaikat maut, yang sememangnya
diutus oleh Allah SWT pada saat mala petaka atau sakit tenat seseorang
itu bertepatan dengan ajal mereka yang sememangnya telah tiba.
Namun
pada hakikatnya bahawa ajal itu adalah ketetapan Allah, yang telah
termaktub sejak azali lagi. Semuanya telah nyata di dalam takdir Allah,
bahawa kematian pasti tiba pada saat yang ditetapkan. Izrail hanyalah
tentera-tentera Allah yang menjalankan tugas seperti yang telah
diamanahkan kepadanya.
Walau
bagaimanapun adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian
seseorang itu sama ada bersebab atau tidak, sebagaimana yang dinyatakan
pada awal tulisan ini, bahawa ada ketikanya malaikat maut datang hendak
mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut
sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut
merasa hairan terhadap manusia itu.
Ini
membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal, sama ada
seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat dan segar bugar. Firman
Allah Taala Yang bermaksud:
“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. “(Surah Al-A’raf: ayat 34)
Allah
merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita
melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana
pula kita meninggalkan larangannya. Manusia yang hatinya sentiasa
ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya
dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat
keredhaan Allah. Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya
diperhatikan oleh Allah SWT. Dan ia juga mengetahui setiap tanggungjawab
dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat
kelak.
No comments:
Post a Comment