Jenazah Pelajar Malaysia Nor Atikah Selamat Dikebumikan
Jenazah Nor Atikah Alias, pelajar Malaysia yang meninggal dunia dalam
kebakaran asrama di Rusia pada 22 April lepas, selamat dikebumikan di
Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit, Jeram Linang di sini, hari ini.
Jenazah Nor Atikah disemadikan bersebelahan kubur neneknya Allahyarham Esah Ali pada kira-kira 10.45 pagi ini.
Jenazah pelajar perubatan itu sebelum itu disembahyangkan di rumah bapa
saudaranya Mat Yaacob Mat Jusoh yang terletak bersebelahan dengan tanah
perkuburan berkenaan.
Jenazah Allahyarham yang dibawa pulang dari Moscow, Rusia, tiba di
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 9.45 malam tadi
dan terus dibawa dengan kereta jenazah dan tiba pukul 8.30 pagi ini di
rumah bapa saudaranya itu.
Turut mengiringi jenazah dari Moscow dan KLIA ialah bapa Allahyarham
Alias Yaacob, ibu Najihah Mat Jusoh serta tunang Nor Atikah iaitu Wan
Mohd Ikwan Wan Sayuti.
Nor Atikah, 25, pelajar perubatan tahun akhir Universiti Perubatan
Kajian Kebangsaan Rusia di Moscow meninggal di Unit Rawatan Rapi
Hospital Sklifosovskogo akibat melecur 30 peratus pada muka, tangan dan
kaki.
Segala kos untuk membawa pulang jenazah Nor Atikah ditanggung oleh
kerajaan Terengganu kerana Allahyarham merupakan pelajar tajaan Yayasan
Terengganu.
Turut menziarahi jenazah ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad
Razif Abdul Rahman, Anggota Parlimen Pasir Puteh Dr Nik Mazian Nik
Mohamad, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan
Tugas-Tugas Khas Terengganu Ghazali Taib dan Ketua Polis Kelantan Datuk
Mazlan Lazim.
Najihah ketika ditemui pemberita berkata beliau sempat bertemu dan
bercakap dengan Nor Atikah sebelum anaknya itu meninggal dunia tiga hari
kemudian di hospital tersebut.
“Dalam pertemuan itu, Nor Atikah banyak menceritakan soal syurga. Beliau
seorang anak yang baik dan saya reda pemergiannya (meninggal dunia),”
katanya.
katanya.
Nor Atikah ialah anak kedua daripada lima beradik. Bapanya seorang
anggota polis trafik berpangkat sarjan di Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir
Mas.
Sementara itu, Mat Yaacob berkata dua ekor lembu yang telah disediakan
untuk majlis perkahwinan Nor Atikah pada Ogos ini, akan digunakan untuk
membuat kenduri doa selamat untuk Allahyarham.
Beliau berkata Allahyarham amat rapat dengan keluarganya dan apabila setiap kali pulang bercuti dia akan datang ke rumahnya.
No comments:
Post a Comment